Selasa, 7 April 2009

DEKLAMATOR PUISI HARUS DIMARTABATKAN

Saya tertarik dengan tulisan Saudara Salman Sulaiman dalam Ruangan Sastera Budaya Mingguan Malaysia 29 Mac 2009 yang lalu telah secara sinis mempersoalkan mengenai untung nasib seorang pendeklamator puisi, ada benarnya.

Saya secara peribadinya , selaku penggiat sastera di Pahang khususnya di Kuantan melalui Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Kawasan Kuantan saban tahun menganjurkan Sayembara Deklamasi Puisi Patriotik DPMP Piala Ketua 1 . Walaupun pertandingan itu hanya melibatkan penyertaan pelajar sekolah-sekolah menengah dalam daerah Kuantan dan pada tahun lepas (2008) penyertaanya dibuka untuk semua pelajar sekolah menengah dari seluruh Pahang namun ianya menjadi wadah melahirkan begitu ramai pendeklamator muda.

Sepanjang penganjuran sayembara ini, deklamator muda yang telah dicungkil bakatnya dan ternyata menyerlah dan berkebolehan yang meyakinkan itu tetap menjadi bakat simpanan saja. Jerih- perih mereka yang berusaha menghafal, menjiwai dan mempelajari selok-belok teknik pendeklamasian seperti ditetapkan oleh pihak penganjur atau berusaha memenuhi kehendak panel hakim sayembara nampaknya hanya tinggal di situ saja. Kegembiraan merebut Piala Ketua 1 dan hadiah utama ( yang agak lumayan bagi pelajar peringkat sekolah) iaitu wang tunai RM700.00 berserta Sijil Penghargaan atau Sijil Penyertaan dikecap hanya satu malam ( dimalam Pertandingan Akhir). Atau bagi pemenang utama yang membawa pulang Piala Ketua 1 untuk simpanan sekolah akan diraikan oleh warga sekolahnya pada hari Perhimpunan Awal Minggu ( itu pun kalau Pengetua atau pihak sekolah yang jenis mengiktiraf perjuangan sastera budaya). Soalnya selepas itu ke mana mereka?

Saya teringat sepatah kata Ketua 1 DPMP Kawasan Kuantan, Y.Bhg. Dato' Hj. Zainuddin b. Hj. Jumaat apabila soalan sebegini dipolimekkan di kalangan kami : Tak apa. Tugas kita sebagai penganjur ialah menganjur sayembara. Kita ingin melahirkan seramai yang mungkin bakat pendeklamasi puisi dalam masyarakat kita. Terserah kepada masyarakat untuk menilai atau menggunakan atau mengeksploitasikan bakat dikalangan deklamator ini. DPMP ditubuhkan untuk menjadi agen pengembang sastera budaya, maka deklamator yang kita dilahirkan dalam sayembara anjuran kita seharusnya pandai membawa diri dan menggunakan kelebihan bakat yang ada pada mereka. Soalnya, sehingga ini berapa orang deklamator kelahiran sayembara DPMP yang sudah boleh berdikari dengan bakat yang kita cungkilkan ini.?

Saya amat bersetuju agar kita ( kalangan orang-orang sastera) mendahului masyarakat umum mengangkat martabat deklamator. Pentas puisi, teater, media eletronik khususnya TV dan Radio , filem dan majlis-majlis ilmu sudah tiba masanya membawa deklamator puisi ke hadapan khalayak dengan kadar bayaran yang lebih profesional Tapi hakikatnya kini, masih kedengaran deklamator yang telah ternobat namanya apabila dijemput oleh penganjur majlis akan diberi saguhati mengikut sesuka hati mereka. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan, ada penganjur yang tergamak memberi bayaran senilai harga minyak petrol 4-5 liter saja. Asal deklamator lepas balik saja. Kenapa hal sebegini berlaku?

Mungkin hal ini bertolak dari sikap pengklasan deklamator. Contohnya terdapat penganjur yang menganggap deklamator kelahiran sayembara peringkat sekolah adalah amatur saja. Oleh itu penganjur dengan berat hati untuk menjemput mereka dan jika dijemput pun, sewenang-wenangnya meletak harga persembahan . Selain itu acara deklamasi puisi juga tidak dianggap acara penting. Tidak ramai khalayak yang terhibur dengan bacaan atau deklamasi puisi berbanding dengan acara seni suara yang kebanyakan liriknya mendayu, lembik, sayu yang melalaikan pendengar dan pakaian serta persembahan yang glamor. Sedangkan pengucapan puisi yang dibawa oleh deklamator semuanya berunsur positif . Bait-bait kata puisi amat baik untuk membawa mesej dan membangkitkan semangat patriotisma yang mendalam.

Walau pun deklamator belum boleh setanding dengan artis hiburan popular namun tugas mereka amat berat. Apa lagi jika deklamator menggalas pengiktirafan johan peringkat daerah, kumpulan dan negeri selalunya mudah dilupai orang kerana dunia pemuisian di negara kita juga bermusim. Selalunya menjelang 31 Ogos setiap tahun, deklamator menjadi sibuk kerana banyak acara kemerdekaan peringkat daerah atau negeri memerlukan khidmat mereka. Itu pun hanya beberapa nama yang terbaris. Maka tidak hairanlah kadang-kadang di atas pentas atau majlis keramaian, deklamator yang itu, yang itu juga mengambil tempat. Mungkin juga pihak pengajur ( yang bukan dari kalangan orang sastera) tidak berapa mengenali deklamator di dalam daerah mereka. Hal ini disebabkan sikap tidak ambil pusing dengan kegiatan sastera budaya setempat.

Kini sudah tiba masanya persatuan penulis, persatuan sastera-budaya dan jabatan kebudayaan dan kesenian di negeri-negeri mesti mengambil sikap pro-aktif dalam usaha untuk menyelaras harga persembahan seseorang deklamator. Seperti apa yang ditulis oleh Salman Sulaiman, deklamator puisi boleh dijadikan satu jenis kerja dengan kadar bayaran tetap , itu pun setelah khalayak telah menerima genre puisi sebagai salah satu persembahan hiburan yang popular.

Sehingga kini, DPMP Kawasan Kuantan telah berjaya melahirkan deklamator yang bagus. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa bakat mereka setaraf dengan deklamator peringkat Kebangsaan.Bila saya menghakimi persembahan mereka ternyata kebolehan mereka tidak boleh dipertikaikan. Vokal, intonasi,nada, kelancaran, artikulasi, mimik muka, penghayatan,bahasa tubuhdan penampilan saling tak tumpah dengan deklamator Peringkat Kebangsaan. Antara nama-nama deklamator yang mantap seperti Muhamad Hafizdzul b. Hamidun, Farrah Nursyiffa bt Rozy, Mohd. Shazwan b. Mohd. Hashim, Rohana bt Janudin , Sharini Don a/p Kahatapetiya, Ean Chin Tek,. Liong Wai Chun (sekadar menyebut beberapa nama).

Kesemua deklamator tersebut sudah dan akan tamat persekolahan menengah mereka, adakah mereka meneruskan kegiatan deklamator puisi. ?
Harapan DPMP Kawasan Kuantan disandarkan kepada mereka agar menjadi pelapis deklamator puisi negara. Dunia pemuisian akan terkulai jika tiada deklamator.

Sekian.
HASNAH BT YUSOFF
Setiausaha DPMP Kawasan Kuantan
( E.mail: dpmpkuantan@yahoo.com.my)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan